Oleh ZUARIDA MOHYIN
FIRMAN Allah s.w.t. bermaksud: Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. (al-Isra': 44)
Chew Kien Cheong atau nama Islamnya, Mohd Shafik Chew Abdullah, 42, mengakui ayat di atas merupakan titik tolak baginya untuk mendalami agama Islam, sekali gus merasakan diri bagai dipanah halilintar.
Malah kata Shafik yang berasal dari Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, Perak ini, semenjak mendengar bait-bait ayat di atas, pelbagai perasaan timbul silih berganti dalam kotak fikirannya.
Persoalan demi persoalan wujud di benak Shafik; Adakah ini tanda hidayah daripada Allah s.w.t.? Ataupun permintaannya supaya ditunjukkan satu agama yang memberi ketenangan jiwa serta membebaskan diri daripada belenggu kesusahan hidup, terjawab sudah?
Sebelum itu, cerita Shafik yang dahulunya menganut agama Buddha, sewaktu bekerja di Sekincan, Selangor, beliau pernah memenangi loteri berjumlah RM60,000. Kegembiraannya bagaikan `dunia ana yang punya'.
Harapan dan anggapan Shafik, dengan wang sebanyak itu, sudah pasti banyak perkara boleh dilunaskan seperti membantu ibu yang telah membesarkannya dan 12 orang abang dan kakak yang lain.
``Pada masa itu saya langsung tidak memikirkan kehendak dan keinginan sendiri. Matlamat saya adalah membantu ahli keluarga yang lain. Lagipun, wang tersebut adalah rezeki terpijak.
``Lantaran itu, dengan wang tersebut saya langsaikan hutang piutang abang dengan along, tunaikan impian ibu yang mahu melihat rumah yang lebih selesa untuk kami anak beranak.
``Akhirnya, keinginan ibu tercapai juga dengan tersergamnya sebuah rumah yang boleh dikira besar dan indah.
``Selain itu, saya juga membantu abang menyediakan modal permulaan bagi memulakan perniagaannya.
``Sayangnya, sesuatu yang memilukan berlaku apabila segala pengorbanan saya itu tidak dihargai oleh mereka. Malah saya dituduh tidak membantu,'' cerita Shafik dengan nada terkilan.
Hasrat merahsiakan bantuan daripada pengetahuan ibunya, rupa-rupanya telah dieksploitasikan oleh adik-beradik yang lain.
Menurut mereka, Shafik adalah saudara yang tidak pernah menghulurkan sumbangan. Hati mana yang tidak pedih, katanya.
Tambah beliau, semenjak insiden menyayat hati itu, beliau kecewa serta merajuk hati dengan sikap adik-beradik yang langsung tidak bersikap belas kasihan.
Terlintas juga di hatinya bahawa perbuatannya yang suka berjudi, bukanlah penyelesai kepada masalah tetapi lebih mengundang keburukan.
Hakikatnya, wang bukanlah segalanya di dalam hidup ini malah menjadikan kita hamba wang serta alpa dengan kewujudan Tuhan yang Maha Berkuasa.
Dalam krisis mencari ketenangan itulah, beliau bertemu dengan ayat al-Quran di atas sewaktu mula berjinak-jinak menghadiri majlis-majlis ilmu dengan masyarakat islam yang lain.
Ia menjadi titik awal kepada keinginannya untuk mengenali agama Islam.
``Pelbagai persoalan menerpa minda saya. Berkuasa benarkah Tuhan orang Islam itu sehinggakan semua makhluk, kejadian alam bertasbih kepada-Nya?
``Malah peluang bertemu dengan salah seorang pakar motivasi merangkap penceramah bebas ketika sedang berjinak-jinak dengan agama Islam, tambah memikat hati saya untuk mendalami agama Islam melalui pembelian buku-buku asas agama Islam dan berdoa agar kehidupan Islam beliau akan lebih bermakna.
``Saya juga diberitahu bahawa seorang yang bergelar mualaf memiliki hak dan keistimewaannya yang telah termaktub di dalam Islam,'' kata Shafik lagi.
Langit tidak selalu mendung, selepas Shafik melafazkan dua kalimah syahadah pada Jun 1996, enam bulan kemudian, beliau menikahi Salamiah Asmail, 41 di Pancang Bedena, Sungai Besar, Selangor.
Menurut Shafik, agama Islam sesuai dengan kehidupan di dunia ini. Islam adalah agama yang mudah dan luas, tidak mengandungi peraturan-peraturan yang sukar difahami.
Berkongsi pengalaman dalam proses perpindahan agama, Shafik mengakui agak berat menyesuaikan diri dengan agama baru tersebut.
Contohnya, dalam melaksanakan ibadat solat. Shafik berusaha membaca beberapa buku yang berisi tuntunan solat.
``Saya juga menggunakan kaedah kaset. Tidak sampai satu bulan saya sudah berupaya menghafaz bacaan dan gerakan solat. Alhamdulillah, sehingga kini, saya sudah dapat menjalankan solat lima waktu.
``Bergelar Muslim, saya dapat merasakan berbagai-bagai perubahan berlaku di dalam hidup saya.
``Fikiran saya lebih tenang dan terbuka, kerana saya sudah mempunyai pegangan hidup, berupaya menilai yang benar dan salah, yang haram dan halal, juga yang baik dan yang buruk.
``Perubahan yang ketara ialah pada rezeki. Saya dapat rasakan rezeki yang diberikan Allah s.w.t. setelah masuk Islam, biarpun sederhana tetapi mencukupi.
``Malah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan; Nursyafika Azwa, 7, dan Nursyahirah, 6 tahun, inilah yang patut saya syukuri,'' jelas Shafik sewaktu ditemui di rumah beliau di Desa Ehsan Tali Air 13, Sungai Nipah, Sungai Besar, Selangor.
Tambah beliau, rumah yang didiami sekarang adalah sumbangan daripada Puzat zakat Selangor (PZS) di bawah asnaf fakir miskin. Kata Shafik lagi, kini beliau sekeluarga tidak lagi menumpang di rumah ibunya di Perak ataupun di rumah keluarga mentua di Sungai Besar, Selangor.
Salamiah juga kini, semakin sibuk mengusahakan perniagaan makanan yang dibuka berhampiran dengan kawasan penempatan mereka.
Menurut Shafik, minat berniaga isteri beliau sudah lama bermula iaitu semenjak tinggal dengan keluarga mentua lagi tetapi apabila melalui kehidupan berdikari, keyakinan bahawa rezeki Allah itu terbentang luas semakin menebal.
Tambahan pula, Shafik bersyukur masyarakat sekeliling tidak membezakan atau menyisihkan mereka sekeluarga. Alhamdulillah, perniagaan yang masih baru ini masih mampu bertahan. Kata Syafik lagi, sudah menjadi ada orang berniaga, ada pasang dan surutnya, mengakhiri perbualan.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment