Oleh ZUARIDA MOHYIN
SOFIA Leung Mei Foong mudah melenting dan telinganya berdesing acap kali diajukan pertanyaan mengenai pengIslamannya, terutamanya apabila ia dilontarkan oleh orang Melayu.
Berasal dari Jinjang Utara, Selangor, Sofia, 25, mengakui terpaksa mengambil masa untuk menerima secara terbuka pandangan masyarakat Islam.
Ini kerana beliau menganggap sepatutnya mereka yang dilahirkan sebagai Muslim, lebih mengetahui kelebihan dan keistimewaan agama Islam itu sendiri.
Tanpa disedari kata Sofia, pertanyaan tersebut seolah-olah menggambarkan kekurangan diri mereka dalam menghayati agama Allah s.w.t. ini.
Namun, segalanya berubah apabila menyedari bahawa pertanyaan yang diutarakan sebenarnya sekadar lahir daripada rasa ingin tahu dan pembuka bicara perkenalan.
Malah kata Pengetua STC, sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Batu Caves ini, beliau kini lebih bersikap optimis dan tidak menilainya secara negatif atau berpandangan serong terhadap pertanyaan yang hakikatnya telus dan ikhlas.
``Sebenarnya, semenjak di tingkatan 4 lagi, saya sudah mengenali serba sedikit tentang ilmu-ilmu asas agama Islam, iaitu melalui subjek Tamadun Islam.
``Secara tidak langsung, sejarah tentang Islam yang berasal dari bumi Arab dan bagaimana ia tersebar serta kegemilangan tokoh-tokoh Islam, menyedarkan saya bahawa orang Islam dan agama Islam cukup terkemuka dan lebih dahulu bertamadun berbanding Barat.
``Kisah-kisah kecemerlangan umat Islam dahulu benar-benar mengejutkan saya. Sebagai seorang yang bukan beragama Islam waktu itu, hati saya tersentuh bagaimana agama yang kini dilabel sebagai pengganas rupa-rupanya cukup disegani dan digeruni suatu masa dahulu,'' terang Sofia yang ditemani suami, Zulcahly Safian, 37, di pejabatnya baru-baru ini.
Semenjak itu, Sofia bertekad mencari kebenaran dalam agama Islam yang sebelum ini sering kali disalahertikan oleh bangsa dan agama lain.
Antara contoh-contoh yang diselewengkan ialah, Islam membenarkan lelaki berkahwin empat, menindas wanita dan banyak lagi.
Melalui saranan seorang teman, Sofia pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan harapan mendapatkan penjelasan tepat.
Di Perkim beliau berkenalan dengan Ustaz Amran Abdullah dan Ustaz Sulaiman Din.
``Penerangan yang diberikan oleh dua orang ustaz ini berjaya meyakinkan saya bahawa agama Islam hakikatnya bukan khas buat orang Melayu.
``Sebelum ini, kami (kaum Cina) menganggap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu, tetapi sebenarnya Islam milik semua.
``Ketika di Perkim juga saya teringat kembali satu kisah semasa mengikuti kursus anjuran sebuah persatuan Buddha di Klang.
``Kata-kata tok sami bahawa kebenaran sebenarnya berada di sekeliling kita semasa sesi bertafakur, membuka minda saya bahawa kejadian alam dan makhluk di muka bumi ini berkait rapat dengan Pencipta iaitu Allah s.w.t.,'' kata Sofia yang mengucap dua kalimah syahadah pada Disember 1998, tiga bulan selepas mengikuti kelas-kelas anjuran Perkim.
Tambah Sofia, Islam jika dibandingkan dengan agama kepercayaannya sebelum ini, jauh berbeza.
Di dalam Islam katanya, setiap sesuatu disediakan panduan dan cara mengamalkannya. Ia sentiasa mempunyai hubungkait di antara dunia dengan akhirat.
Misalnya, pekerjaan yang kita lakukan selama di dunia ini, bukan sahaja kita akan mengutip hasilnya yang berbentuk pendapatan ataupun gaji bulanan, bahkan kita juga akan menerima `gaji ` di akhirat kelak.
Ini kerana apabila kita menjalankan atau melaksanakan kerja yang diamanahkan dengan jujur dan bertanggungjawab, maka kerja yang dilakukan itu merupakan ibadah yang akan mendapat ganjarannya di akhirat nanti.
Pun begitu katanya lagi, kitab al-Quran yang menjadi panduan umat Islam, cukup lengkap merangkumi pelbagai bidang, malah sesuai sepanjang zaman.
Jelas Sofia, ``Berlainan pula dengan agama selain Islam. Ia boleh dikerjakan mengikut kehendak sendiri.
``Contohnya, dalam keadaan sibuk, penganutnya boleh melakukannya pada hari-hari yang lain. Seolah-olah tiada ikatan yang kuat antara individu dengan agama yang dianutinya.''
Lantaran itu, Sofia pernah mengikuti kursus Undang-undang Islam peringkat sijil di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama enam bulan demi mendalami ilmu agama.
``Sebelum ini saya banyak menerima pendidikan asas Islam di Perkim tetapi melalui kursus anjuran UIAM, pengajiannya lebih meluas meliputi munakahat,usul fiqh, faraid, muamalat, ibadat dan banyak lagi,'' tambah Sofia.
Menurut anak sulung daripada dua beradik ini lagi, pengIslaman beliau sedikitpun tidak mendapat bantahan daripada ahli keluarga terdekat dan sanak saudara.
``Mereka tidak menghalang pengIslaman saya, barangkali kerana latar belakang keluarga kami bukanlah daripada keluarga berada, jadi mereka merasakan tidak ada penipuan di sebalik peristiwa tersebut, terang beliau.
Selepas tiga tahun bergelar Muslim, barulah Sofia bernikah dengan jejaka pilihan hati berasal dari Perak, Zulcahly pada Oktober 2002 ketika berusia 25 tahun.
Kata Sofia, suaminya banyak membantunya mendalami ilmu-ilmu Islam. Keizinan Zulcahly terhadap Sofia yang mengikuti kelas-kelas di Perkim, secara tidak langsung menjadikan Sofia seorang Muslim yang mempunyai ilmu, bukan setakat Islam ikut-ikutan atau Islam bersandarkan kebendaan.
``Bergelar seorang saudara baru banyak dugaan yang terpaksa dihadapi. Ada masanya kita menghadapi konflik dalaman kerana tidak tahu kedudukan sebenar.
``Sebab itulah saya galakkan agar saudara baru sentiasa menghubungi ustaz atau ustazah sama ada di Perkim, jabatan-jabatan agama Islam di tempat masing-masing ataupun berpersatuan untuk sentiasa mendapatkan bimbingan, sokongan dan tidak merasa diri semakin tersisih,'' kata Sofia mengingatkan cabaran yang pernah dilaluinya dulu.
Biarpun Sofia sibuk dengan kerenah kanak-kanak di pusat jagaannya, beliau tetap bergiat aktif dengan Perkim Gerak demi membantu saudara baru, khasnya golongan belia agar mampu menghadapi cabaran dan anggapan negatif terhadap Islam.
``Barat sentiasa memburuk-burukkan Islam sehingga ada saudara baru yang goyah keimanannya kerana kurang ilmu agama di dada.
``Oleh itu, bergiat dengan majlis-majlis ilmu sekurang-kurangnya menjadi benteng keimanan dalam meneruskan kehidupan seorang mukmin sejati dan sentiasa dirahmati,'' ujar Sofia yang bercita-cita berjaya dalam perniagaan yang diusahakan.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment