![]() `Biar badan ini dikerat-kerat, namun untuk keluar daripada Islam tidak sekali-kali'. Pastinya tiada sesuatu yang istimewa di dalam ungkapan ini kerana ia mungkin luahan ikhlas seorang Muslim, tetapi ia menjadi janggal apabila pengakuan tersebut terpacul dari mulut seorang kanak-kanak lelaki yang belum mencecah usia akil balighnya lagi. Begitulah di antara bibit-bibit awal bagaimana Pegawai Dakwah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Ustaz Amran Abdullah mula berkenalan dengan agama Islam yang dahulunya dianggap milik masyarakat Melayu sahaja. Tambah anak kelahiran Kampung Sungai Kob, Kulim Kedah ini, persekitaran dunia kanak-kanaknya merupakan salah satu faktor penyumbang pendedahan awal beliau kepada agama Islam. ``Keluarga kami masa itu mempunyai hubungan kejiranan yang amat rapat dengan penduduk di kampung tersebut yang majoritinya berbangsa Melayu, beragama Islam. ``Masa itu tidak timbul perbezaan agama. Kami bagaikan sebuah keluarga yang hidup dalam suasana penuh muafakat dan harmoni. ``Kesan daripada rasa keakraban tersebut, sehingga diterjemahkan dengan pergaulan yang penuh ikhlas. Malah saya memanggil salah seorang tua di kampung tersebut dengan gelaran Tok Wan. ``Pada masa itu, saya sudah mula tertarik dengan agama Islam sungguhpun sekadar daripada contoh pergaulan,'' jelas beliau. Tambahan pula, kata Amran, 42, semasa di bangku sekolah rendah lagi, kedudukan sekolahnya berhampiran dengan masjid, secara tidak langsung, terlintas rasa ingin tahu apa yang mereka lakukan di dalam masjid tersebut. Amran mengakui, beliau pernah menyelinap masuk ke dalam masjid dan bermula daripada insiden itu, barulah terhurai segala kemusykilan yang bermain di fikirannya mengenai apa sebenarnya yang ada di sebalik masjid tersebut. Lama-kelamaan, perasaan dan perwatakan Amran semakin sebati dengan cara hidup masyarakat Melayu kampungnya. Seingat Amran, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam kepada beberapa orang teman sepermainannya. Luahan ini sampai ke pengetahuan orang tua-tua di kampung tersebut. ``Jadi mereka menghantar saya ke Sidang Kiri, Padang Serai dan di sinilah saya mengucap dua kalimah syahadah. ``Entah bagaimana, timbul suasana huru-hara di kampung tersebut. Kedua-dua orang tua saya marah apabila mengetahui hal tersebut. ``Emak saya mengugut akan minum racun sekiranya saya tidak pulang ke rumah. Jadi, untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, Tok Wan membenarkan keluarga asal saya membawa saya pulang,'' cerita Amran. Sambungnya lagi, ``mereka mengatakan saya telah dibomohkan dan mahu tarik saya kembali kepada agama asal dengan menyuruh saya minum air yang telah dijampi. Tanpa saya sangka, keluarlah ungkapan di atas.'' Luahan kata-kata yang tersebut di atas itulah yang membuatkan ibu bapanya akur dengan kehendak beliau. Selepas itu, Amran mengambil keputusan tinggal dengan Ustaz Sobri Don, guru yang telah memberikannya nama yang digunakan sehingga kini. Di bawah pengawasan Ustaz Sobri, beliau menerima didikan agama secara sempurna sehinggalah ke peringkat sekolah menengah. Dalam tempoh tersebut juga, hubungan yang hampir retak antara Amran dan keluarga kandungnya, akhirnya bertaut kembali. Hal itu berlaku setelah Amran menerangkan kepada keluarganya, bahawa walaupun mereka berbeza agama, pertalian darah dan statusnya sebagai anak tetap tidak akan berubah selamanya. Amran yang baru menimang cahaya mata pertama, Muhammad U'kasyah, 2 bulan, hasil perkahwinan dengan Siti Sarmi Haji Kadir, 39, pada 27 Disember 2001, bersyukur menerima hidayah daripada Allah s.w.t. semenjak usia mudanya dengan penerangan yang jelas mengenai konsep Tuhan itu Satu, dan penyembahan serta pengharapan hanya kepada Allah s.w.t. Ini kerana setelah memperoleh ilmu agama daripada keluarga angkatnya, timbul semacam keinginan untuk terus mendalami Islam. Langkah seterusnya, Amran meneruskan pengajian ke sekolah pondok di Pattani dan Pasir Tumbuh, Kelantan. Cerita Amran lagi, semasa di Kelantan beliau mengenali Perkim dan penglibatan pertamanya dengan Perkim bermula apabila mengikuti kursus intensif selama tiga bulan di bangunan Perkim, Jalan Ipoh, pada tahun 1995. Oleh kerana Amran memperoleh pencapaian yang membanggakan dalam peperiksaan khas tersebut, beliau telah dilantik menjadi Pegawai Dakwah setahun kemudiannya. Kini, setelah hampir lapan tahun menjadi pendakwah di Perkim, cabaran yang mesti dihadapinya acap kali berdakwah kepada Orang Asli dan saudara baru, kata Amran ialah dari segi persiapan diri dengan ilmu agama seiring dengan perkembangan ICT. ``Dalam berdakwah saya tidak mementingkan kuantiti tetapi kualiti. Masukkan Islam seseorang itu bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, tetapi bagaimana ia diterjemahkan ke dalam kehidupan itulah yang paling diutamakan. ``Hakikatnya, Islam bermula dengan contoh. Oleh itu, berdakwah kenalah bermula daripada diri sendiri, keluarga dan seterusnya orang luar. ``Bagaimana penganut agama lain akan tertarik kepada Islam jika umatnya tidak menunjukkan contoh yang baik?'' tegas Amran mengakhiri perbualan. Sumber: Utusan Malaysia |
Nuffnang
Monday, November 1, 2010
`Masuk Islam' - Bukan sekadar dua kalimah syahadah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment